Mar 09, 2020 - FASAgensi fotografi sukan dan berita terkenal di Malaysia, ASIANA.my diumumkan sebagai rakan fotografi rasmi bagi skuad Red Giants untuk musim 2020.
Ditubuhkan pada 1 Januari 2014 oleh Kamarul Akhir yang lebih dikenali sebagai (KA) dan Siti Rafidah Sabihim, All Sports Images And News Agency (ASIANA.my) merupakan agensi foto rasmi Asian Football Confederation (AFC), Football Association of Malaysia (FAM), Badminton Association of Malaysia (BAM), jurufoto rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, jurufoto rasmi kontinjen Malaysia di Sukan ASIA Jakarta Palembang 2018, jurufoto rasmi Malaysia Football League.
Pakar dan pengalaman luas dalam bidang fotografi sukan dan berita, ASIANA.my sering bekerjasama rapat dengan agensi berita tempatan dan antarabangsa dalam mengabadikan saat-saat istimewa.
Kerja fotografi ASIANA.my kerap dilihat dalam penerbitan seperti papan iklan, produk sukan, akhbar, majalah, portal sukan atas talian dan banyak lagi.
ASIANA.my tidak asing lagi bagi Selangor kerana telah menjadi salah sebuah rakan startegik sejak musim 2019 yang menjadi jurufoto rasmi ekslusif Red Giants.
Menurut Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon kerjasama antara kedua-dua entiti ini penting kearah penswastaan sepenuhnya kelab bola sepak yang berpengkalan di Lembah Kelang ini.
“FA Selangor bersyukur dan berbangga dengan kerjasama ini. ASIANA.my telah menjadi rakan strategik yang banyak membantu proses transformasi menyeluruh Selangor sejak musim lalu. Servis dan komitmen yang mereka telah berikan sepanjang musim lalu adalah sangat mengagumkan. Kami sangat berpuas hati dengan kerjasama yang telah ditunjukkan pada musim lalu dan berharap dapat mengulanginya pada musim ini” tambah Johan.
Encik Kamarul Akhir (KA) tengah, pengasas ASIANA.my dipetik berkata, “Kami sangat teruja dapat meneruskan kerjasama dengan FA Selangor, sebuah pasukan yang kaya dengan kejayaan dan sejarah bola sepak di negara ini. Kami bersedia untuk merakamkan detik-detik gemilang dan istimewa skuad Red Giants. Kami juga berharap agar kerjasama yang terjalin ini dapat diteruskan lagi untuk masa yang akan datang.”
FA Selangor mengucapkan terima kasih kepada ASIANA.my atas kepercayaan yang diberikan untuk memajukan bola sepak negeri Selangor selain mengharapkan agar lebih banyak badan korporat untuk tampil untuk sama-sama mengembalikan kembali zaman kegemilangan bola sepak Selangor.